SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA TAHUN 2023 (HPBS) PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

SAMBUTAN HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA TAHUN 2023 (HPBS) PERINGKAT NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
 
SERI ISKANDAR, 25 November 2023 – Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2023 (HPBS) Peringkat Negeri Perak bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar, Bandar Seri Iskandar, Perak. Program ini merupakan anjuran bersama di antara Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan (PLANMalaysia Perak), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Majlis Daerah Perak Tengah, Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perak Tengah.
 
Majlis turut dihadiri oleh YBrs. TPr Md Nazri bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia, YBrs. Gs Mohamed Zamri bin Mohd Zain, Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs Tuan Haji Mohd Zaki bin Abdul Rahman, Pegawai Tanah Daerah dan seterusnya YBrs Puan Zairina binti Nordin, Yang DiPertua Majlis Daerah Perak Tengah.
 
Beberapa Program dan Pertandingan telah dianjurkan dengan jayanya melibatkan pelbagai peringkat komuniti termasuklah golongan pelajar sekolah menengah dan universiti, komuniti kawasan rukun tetangga (KRT) serta penduduk sekitar Daerah Perak Tengah. Antara program dan pertandingan tersebut termasuklah Program Selangkah Ke Menara Gading, Kempen Pertanian Komuniti, Program Kitar Semula dan Pameran HPBS 2023, Pertandingan Memancing, Pertandingan Pelan Susun Atur, Pertandingan
Nyanyian Lagu Irama Malaysia dan Pertandingan Memasak Komuniti Sejahtera, Keluarga Bahagia.
 
Selain daripada itu, penghargaan juga telah disampaikan kepada semua PBT di Negeri Perak yang telah mengekalkan kejayaan dalam Anugerah Bandar Mampan dan Bandar Bahagia Tahun 2023. Tahniah kepada semua PBT Negeri Perak.
 
Bagi menyokong inisiatif micro planning yang diperkenalkan oleh PLANMalaysia, majlis juga dijayakan dengan penyerahan Pelan Tindakan Khas Komuniti (PTKK) kepada Majlis Daerah Perak Tengah dan Majlis Daerah Kampar. Langkah awal ini diharap dapat membantu Kerajaan Negeri didalam aspek memperteguhkan agenda perancangan bandar dan desa di Negeri Perak.
 
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran dan penglibatan Ketua-ketua Jabatan, agensi peringkat persekutuan, negeri dan daerah serta pemimpin masyarakat termasuklah komuniti.
Semoga penganjuran Sambutan HPBS 2023 Peringkat Negeri Perak ini membawa seribu makna kepada para peserta dan jemputan tentang kepentingan perancangan bandar dan desa.
 

Cetak   Emel