Lembaga Rayuan Negeri Perak

LEMBAGA RAYUAN NEGERI PERAK

 

Pengenalan Lembaga Rayuan

Lembaga Rayuan merupakan satu badan berkecuali atau tribunal yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk mendengar rayuan daripada pihak yang terkilan dengan keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) terhadap kes-kes yang berkaitan dengan perancangan bandar dan desa. Lembaga Rayuan ditubuhkan di bawah Seksyen 36, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan diwartakan pada 15 Februari 1996.

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh sub seksyen 36(2) Akta 172, PBN dengan persetujuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Rayuan Negeri Perak. Sehingga Ogos 2020, sejumlah 189 kes rayuan telah didaftarkan sejak penubuhan Lembaga Rayuan Negeri Perak.

 

Fungsi Lembaga Rayuan

Lembaga Rayuan bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang awam mengemukakan rayuan sekiranya terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan PBPT dan seterusnya menimbang kes-kes rayuan tersebut di mana Lembaga Rayuan sebagai badan berkecuali (independent body) yang dilantik oleh PBN bagi menyelesaikan pertikaian di antara perayu dengan PBPT khususnya yang terbit dari sesuatu keputusan perancangan yang mana perayu itu sama ada Pembantah, Pemohon, Pemilik atau Pengguna merasa terkilan.

 

Bidang Tugas Lembaga Rayuan

Sub seksyen 36(10), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memperuntukkan Lembaga Rayuan mempunyai bidang tugas seperti berikut:

  • Mendengar rayuan daripada perayu dan juga PBPT;
  • Memanggil dan memeriksa saksi-saksi;
  • Menghendaki mana-mana orang mengikat dirinya atas sumpah untuk menyatakan yang benar;
  • Memaksa mana-mana pihak mengemukakan dan menyerahkan apa-apa dokumen yang difikirkan berkaitan bagi rayuan itu;
  • Mengesahkan, mengubah atau mengakas perintah atau keputusan yang dirayu;
  • Mengawardkan kos; dan
  • Membuat apa-apa perintah sama ada berkaitan dengan Akta 172 ataupun tidak.

 


Cetak   Emel