Sepintas Lalu

PLANMalaysia@Perak (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan)

PLANMalaysia atau dahulunya lebih dikenali sebagai Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) telah ditubuhkan seawal tahun 1921 di Kuala Lumpur dengan pelantikan En.Charles C.Reade seorang berbangsa Inggeris sebagai Pegawai Perancang Kerajaan bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang). Pada tahun 1929, Pejabat Perancang Bandar di Ipoh telah ditubuhkan tetapi terpaksa ditutup pada tahun 1933 kerana kesulitan isu kewangan. Ketika itu, Perancangan Bandar hanya dijalankan bagi bandar-bandar utama seperti di Ipoh, Taiping, Kuala Kangsar dan Teluk Intan dengan memberi fokus terhadap perancangan kemudahan jalan perhubungan dan perancangan penempatan secara ringkas dan kecil-kecilan.   Penjenamaan semula Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia kepada PLANMalaysia telah diluluskan oleh Mesyuarat Kabinet pada 25 Januari 2017 dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan (JPBD.Pk) telah diselaraskan dengan nama baharu iaitu PLANMalaysia@Perak.

Berdasarkan sejarah penubuhan pada 1 Jun 1956, PLANMalaysia@Perak dianggotai 7 orang anggota dan mula beroperasi di Bangunan Dewan Bandaran Ipoh. Pada 1 Januari 1959, perkhidmatan perancangan bandar mula diperluas meliputi seluruh Negeri Perak. Bilangan keanggotaan jawatan ketika itu telah meningkat kepada 20 orang pada tahun 1970 dan sehingga kini organisasi keseluruhan adalah seramai 96 orang meliputi kepelbagaian jawatan dan gred. Pertambahan tenaga kerja ini adalah sejajar dengan keperluan semasa dan cabaran kepesatan pembangunan yang dihadapi oleh Negeri Perak Darul Ridzuan khususnya dalam aspek perancangan bandar yang lebih komprehensif dan holistik.