LAWATAN TAPAK DAN MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL TANAH TINGGI DAN CERUN NEGERI PERAK (JTTTCPK) BIL.1/2024

Lawatan Tapak dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tanah Tinggi dan Cerun Negeri Perak (JTTTCPk) Bil.1/2024

 
IPOH, 13 Jun 2024 – Lawatan tapak serta Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tanah Tinggi dan Cerun Negeri Perak (JTTTCPk) Bil.1/2024 telah diadakan untuk mempertimbangkan satu permohonan bagi cadangan pembangunan perindustrian dan komersial di Mukim Sg. Raya, Daerah Kinta, Perak. Mesyuarat ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, Majlis Daerah Batu Gajah dan dipengerusikan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengarah PLANMalaysia Perak, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Perak, Setiausaha Majlis Daerah Batu Gajah, wakil - wakil daripada jabatan/agensi yang terlibat, pasukan perunding dan urus setia JTTTCPk.
 
Peranan Jawatankuasa adalah untuk meneliti permohonan ini melalui ulasan dan maklumbalas yang diberikan oleh ahli mesyuarat setelah membuat penilaian ke atas pelan dan laporan yang disediakan oleh pihak perunding. Ini menjadi panduan kepada Jawatankuasa dalam memberikan nasihat mengenai had pembangunan yang boleh dilaksanakan memandangkan terdapat kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah dan berketinggian melebihi 150 meter di dalam tapak cadangan.
 
Selain itu, Jawatankuasa juga fokus kepada langkah intervensi dan mitigasi yang diambil bagi sebarang impak yang dijangkakan supaya pembangunan tersebut mematuhi syarat – syarat yang ditetapkan dan tidak memberikan impak negatif kepada kawasan sekitarnya. Secara tidak langsung, pembangunan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan terutamanya masyarakat setempat dan mencapai hasrat pentadbiran di peringkat daerah dan negeri.
 
YB Puan Sandrea Ng

Cetak   Emel