Kebenaran Merancang

APAKAH KEBENARAN MERANCANG?

  1. Merupakan kebenaran secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).
  2. Kebenaran merancang adalah kelulusan yang diperlukan setelah kelulusan tukar syarat tanah diperolehi, yang mana ia adalah sebelum proses pelan bangunan diteruskan.
  3. Tiada had keluasan tanah yang dikecualikan daripada kebenaran merancang, walaupun tanah tersebut kurang daripada 1 ekar.

 

MAKSUD KEBENARAN MERANCANG MENGIKUT AKTA 172

  1. Subseksyen 2(1)Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Mentafsirkan kebenaran merancang sebagai kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat untuk menjalankan pemajuan.
  1. Subseksyen 19(1) memperuntukkan tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan (PBT), boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3).
  1. Pada amnya kebenaran merancang adalah satu prosedur yang mana pemohon perlu mengemukakan permohonan kepada PBPT untuk mendapat kelulusan sebelum memulakan sebarang pemajuan di atas tanah atau bangunan sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 21A [Laporan Cadangan Pemajuan ( LCP)] dan seksyen 21B [Pelan Susunatur]

 

SIAPA YANG MEMBERIKAN KEBENARAN MERANCANG?

  1. Sesuatu kebenaran merancang diberi oleh PBPT bagi kawasan berkenaan
  2. Bagi kawasan dalam sesuatu majlis Perbandaran / majlis Daerah / majlis Tempatan, kebenaran merancang dikeluarkan oleh PBT berkenaan yang merupakan PBPT kawasan berkenaan, di bawah subseksyen 5(1).
  3. Bagi kawasan di luar sesebuah PBT, kebenaran merancang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri yang merupakan PBPT bagi kawasan di luar PBT,  di bawah subseksyen 5(2).
  4. Keputusan oleh PBT lazimnya dibuat oleh mesyuarat penuh majlis perbandaran atau daerah berkenaan.

 

DEFINISI PEMBANGUNAN ATAU PEMAJUAN

Subsyeksyen 2(1) Akta 172, mendefinisikan pembangunan  atau pemajuan meliputi aktiviti-aktiviti berikut :

 

  1. Menjalankan kerja-kerja bangunan yang meliputi meruntuh, mendiri, mendirikan semula atau meluaskan sesuatu bangunan atau sebahagiannya.
  2. Menjalankan kerja-kerja kejuruteraan seperti membentuk dan meratakan tanah, penjajaran jalan keluar masuk, penjajaran kabel dan saluran bekalan air.
  3. Menjalankan kerja-kerja perlombongan dan perindustrian.
  4. Membuat sesuatu perubahan matan dalam penggunaan tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya.
  5. Memecah sempadan dan mencantum tanah.

 

PERKARA-PERKARA PENTING DALAM MEMPERTIMBANGKAN PERMOHONAN KEBENARAN MERANCANG

Subsyeksyen 22( 2 ) Akta 172 telah menjelaskan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh PBPT sebelum menimbang atau membuat keputusan ke atas sesuatu permohonan kebenaran merancang. Antaranya adalah termasuk :

  1. Peruntukan-peruntukan rancangan pemajuan yang telah diwartakan atau dalam penyediaan.
  2. Arahan-arahan yang diberikan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri ( jika ada ).
  3. Peruntukan-peruntukan Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993.
  4. Laporan Cadangan Pemajuan.
  5. Bantahan-bantahan Pemilik Tanah Berjiran yang dibuat di bawah Seksyen 21.
  6. Permohonan yang perlu mendapat nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN)
  7. Ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan.

 

LARANGAN MENGENAI PEMAJUAN TANPA KEBENARAN MERANCANG

Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu:

  1. Tiada seorang pun, selain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan dibawah Seksyen 24(3).
  2. Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang atau pemajuan dijalankan berlawanan dengan kebenaran merancang, pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 27 dan Seksyen 28 Akta 172. Hukuman yang boleh dikenakan adalah mengikut Subseksyen 26(1), iaitu denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

KHIDMAT PROFESIONAL PERANCANG BANDAR

  1. Seseorang pemohon untuk kebenaran merancang boleh menggunakan perkhidmatan profesional perancang bandar dari sektor swasta.
  2. Perunding perancang bandar akan memberi nasihat profesional berhubung sesuatu proses dan seterusnya menyediakan dokumen yang diperlukan dalam permohonan sesuatu kebenaran merancang.
  3. Proses kelulusan kebenaran merancang ini memerlukan laporan, dokumen dan penyediaan pelan-pelan yang tertentu dan ini dapat diuruskan oleh pihak perunding perancang bandar.

 

KEBENARAN MERANCANG YANG PERLU DIRUJUK KEPADA JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI SETERUSNYA KEPADA MAJLIS PERANCANG FIZIKAL NEGARA (MPFN) UNTUK MENDAPAT NASIHAT MENGIKUT PERUNTUKAN SUBSEKSYEN 22(2A), AKTA 172

  1. Pembangunan perbandaran baru bagi penduduk yang melebihi sepuluh ribu (10,000 orang) atau meliputi suatu kawasan yang melebihi seratus (100 hektar) hektar atau kedua-duanya.
  2. Sesuatu pemajuan bagi pembinaan apa-apa infrastuktur atau kemudahan utama , termasuk
  • Kerja-kerja infrastruktur negara seperti lapangan terbang, pelabuhan laut, landasan keretapi dan lebuhraya, dan
  • Kerja-kerja kemudahan negara seperti pembinaan empangan, stesen janakuasa utama dan tapak pembuangan sisa toksid.
  1. Sesuatu pemajuan yang melibatkan kawasan di puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dalam sesuatu rancangan pemajuan.

Pihak Berkuasa Perancang Tempatan akan merujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri dan seterusnya Jawatankuasa perlu merujuk kepada Majlis Perancang Fizikal Negara untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu permohonan yang dikemukakan.

 

TAHUKAH ANDA, ANDA BOLEH DIDAKWA SEKIRANYA MELANGGAR KEBENARAN MERANCANG

Seseorang yang telah mendapat kebenaran merancang hendaklah sentiasa mempastikan aktiviti pemajuan yang dijalankan adalah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kebenaran merancang itu. Sebarang pelanggaran terhadap syarat itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 172.

Penyataan mengenai kesalahan-kesalahan ada dinyatakan dibawah Seksyen 26 (1) Akta 172.

Seseorang didapati bersalah jika :-

  •  Memajukan atau membangunkan tanah yang berlainan dengan jenis kegunaan zon tanah yang diwartakan oleh Rancangan Tempatan atau mengubahsuai kelulusan kebanaran merancang.

Pemilik tanah yang didapati bersalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta 172, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM 500,000.00 dan tambahan RM 5,000.00 bagi setiap hari kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya.


Cetak   Emel