PROGRAM LAWATAN KERJA KAJIAN RANCANGAN STRUKTUR NEGERI (RSN) PERAK 2040 (KAJIAN SEMULA) KE WILAYAH PERAK UTARA
KERIAN 21-23 Mei 2025 : Pasukan Kajian RSN Perak 2040 (Kajian Semula) bersama perunding Peers Consult (M) Sdn Bhd telah mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Perak Utara. Pada 21 Mei 2025 lawatan telah diadakan di sekitar pekan Parit Buntar, Tanjung Piandang, Ban Pecah dan Kuala Gula. Lawatan juga turut diadakan di kawasan kelip-kelip pada sebelah malam di Pengkalan Lubuk Buntar, Tebuk Haji Dollah, Selingsing. Produk ini adalah antara eko pelancongan yang berpontensi untuk menarik pelancong dalam dan luar negara ke kawasan utara Negeri Perak.
Pada 22 Mei 2025 sesi pagi, Pasukan Kajian dan perunding telah mendengar taklimat daripada pengurusan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan Seberang Perak di pejabat IADA Kerian, Bagan Serai. Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah IADA Kerian, Puan Pn. Noor Mazirah binti Teh dan Pengarah IADA Seberang Perak, En. Mohd Shafie bin Mohd Sidek. Taklimat yang disampaikan merangkumi keadaan semasa jelapang padi negeri Perak serta isu dan cabaran yang dihadapi oleh pihak IADA dalam menguruskan kawasan jelapang padi ini. Selepas sesi taklimat satu lawatan tapak telah diatur ke kawasan jelapang padi Sg. Bogak, Bagan Serai.
Pada Sesi petang Pasukan Kajian dan perunding telah mendapatkan taklimat dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian dan taklimat telah disampaikan oleh En. Mior Amir Asyraf bin Mior Yaakub mengenai pengurusan Empangan Bukit Merah di Pusat Informasi Empangan Bukit Merah. Pelbagai informasi dan isu telah dikongsikan oleh wakil JPS Kerian di dalam menguruskan Empangan Bukit Merah yang merupakan empangan tertua di Malaysia dan penting sebagai bekalan air pertanian (sawah padi), kegunaan domestik dan kawalan banjir.
Pada 23 Mei 2025, Pasukan Kajian bersama perunding dan Pengarah Perancang Bandar Majlis Daerah Kerian, Tuan Haji Anas bin Dolah telah mengadakan lawatan ke kawasan industri Akuakultur Ikan Hiasan (Ikan Arowana) di Kg Kubu Gajah, Bukit Merah. Satu sesi perbincangan juga telah diadakan bersama Kelab Persahabatan Arowana Malaysia. Lawatan turut diadakan ke Kurau Stone Resort di Batu Kurau, Taiping bagi meninjau isu dan potensi eko pelancongan di kawasan tersebut. Satu perbincangan juga telah diadakan bersama pemilik resort, YBhg. Dato' Haji Mohd Ghazali bin Haji Hashim.
Pelbagai isu strategik serta potensi kawasan Wilayah Perak Utara telah dibincangkan sepanjang lawatan dan akan dijadikan input oleh Pasukan Perunding khasnya Sektor Pertanian dan Pelancongan dalam penyediaan Laporan Tinjuan kelak.