phone blackfeedback blackfaq blacksitemap black
mygov uc

Senarai Berita

DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN TITAH USAHA KUTIPAN HASIL AKAN DITEROKAI SEMENTARA PERBELANJAAN DIKAWAL SECARA BERHEMAH

DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN TITAH USAHA KUTIPAN HASIL AKAN DITEROKAI SEMENTARA PERBELANJAAN DIKAWAL SECARA BERHEMAH

IPOH, 15 APRIL 2025 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah usaha meningkatkan kutipan hasil akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemah.

Baginda titah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Di peringkat negeri, kutipan hasil pada tahun 2024 merekodkan angka melebihi sasaran, mencecah RM1.3 bilion meningkat RM118.5 juta berbanding kutipan hasil tahun 2023. Bagi tiga tahun berturut-turut, berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan kedudukan surplus; mencatatkan surplus (sebelum diaudit) RM45.6 juta pada 31 Disember 2024," titah baginda.

Titah baginda lagi, usaha meningkatkan kutipan hasil akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemah.

“Beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri, antaranya, pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023 dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023.

“Royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka akan memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan. Langkah memberi milik tanah-tanah kerajaan negeri di tapak hidro dan bangunan Tenaga Nasional Berhad sedia ada, akan memberi nilai tambah kepada hasil negeri. Premium tambahan juga bakal diperoleh melalui projek-projek pembangunan dan pemajuan tanah perindustrian dan perumahan berimpak tinggi.

“‘Hala Tuju Ekonomi Biru’ dilancarkan, sebagai pendekatan strategik ke arah mengembangkan potensi ekonomi biru secara mampan, agar tercapai hasrat untuk memakmurkan sumber laut dan mengurus sumber marin secara lestari. Usaha membangunkan sektor ekonomi biru akan direalisasikan melalui pembangunan sektor utama dan pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi serta pemerkasaan pengurusan pemuliharaan marin,” titah baginda.

Pada masa yang sama, baginda bertitah, usaha membangunkan bandar pintar dirintis, melalui Blueprint Bandar Pintar 2040 yang menekankan elemen penduduk, seperti Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar yang berjaya meraih status 'Smart City Early Adopters' menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2024.

"Majlis Bandaraya Ipoh pula akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa 'Cities Series Windows: Smart Green ASEAN Cities 2025' membabitkan 12 bandar raya negara anggota ASEAN.

"Kita menghargai sokongan Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bersetuju menyediakan peruntukan kewangan untuk menjayakan pembangunan bandar pintar di Perak," titah baginda.

Baginda bertitah, pelbagai usaha dirintis untuk meningkatkan tahap pencapaian dan prestasi anak Perak dengan 17 program dilaksanakan bagi memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

"Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melipatgandakan usaha dengan melaksanakan sembilan program peningkatan kemahiran, dalam usaha mahu memenuhi hasrat menjadikan Perak koridor pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berupaya melahirkan modal insan lebih kompetitif.

"Bantuan insentif siswa disediakan kepada pelajar kelahiran Perak, daripada keluarga berpendapatan tidak melebihi RM7,500 sebulan, untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

"Pada 2024 lebih 6,324 mahasiswa anak Perak menikmati insentif ini," titah baginda.

Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Perak yang berjaya memungut 35 pingat emas, 38 perak dan 56 gangsa, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, meletakkan Perak menduduki tempat ketujuh, pencapaian lebih baik daripada edisi sebelumnya.

fbigyttt