𝗠𝗮𝗷𝗹𝗶𝘀 𝗣𝗲𝗿𝗵𝗶𝗺𝗽𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗿𝗴𝗮 𝗣𝗟𝗔𝗡𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 𝗣𝗲𝗿𝗮𝗸 𝗕𝗶𝗹.𝟭/𝟮𝟬𝟮𝟲
IPOH, 4 Februari 2026 – Majlis Perhimpunan Warga Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak Darul Ridzuan (PLANMalaysia Perak) Bil.1/2026 telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak bertemakan ‘IHSAN’. Majlis ini dihadiri seramai 84 warga PLANMalaysia Perak.
Majlis perhimpunan ini telah disempurnakan dengan penyampaian Amanat Awal Tahun 2026 oleh YBhg. Dato’ TPr Gs. Mohamed Zamri bin Mohd Zain, Pengarah PLANMalaysia Perak yang menekankan pengukuhan peranan PLANMalaysia Perak sebagai agensi perancang strategik negeri dalam menyokong agenda pembangunan yang mampan, berintegriti dan berfokuskan hasil. Amanat tersebut turut mengaitkan hala tuju Jabatan dengan lima (5) fokus utama yang telah digariskan oleh YAB Menteri Besar Perak dalam Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2026, khususnya berkaitan pengukuhan hasil dan kelestarian ekonomi negeri, penyelesaian aduan dan isu rakyat secara tuntas, transformasi digital, data dan kecerdasan buatan (AI), menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pemerkasaan budaya kerja dan keupayaan pentadbiran.
Selaras dengan fokus berkaitan transformasi digital, data dan kecerdasan buatan (AI), Jabatan telah mengorak langkah dengan membangunkan Prototaip GeoSilver AI @ Mr. TPr, iaitu aplikasi chatbox berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menjawab pertanyaan berkaitan perancangan bandar khusus untuk Negeri Perak selaras dengan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 dan Pelan Perak Sejahtera 2030. Dalam memperkasakan agenda Smart Governance, Jabatan turut komited untuk membangunkan sistem AI bagi melebar luas penggunaannya kepada SIA Score Card, Ulasan Kebenaran Merancang (KM) dan LCP Score Card.
Majlis ini juga diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada warga yang menyambut ulang tahun kelahiran bersama Maskot Mr. Town Planner bagi bulan Januari hingga Mac 2026.
PLANMalaysia Perak mengucapkan selamat hari lahir kepada semua warga yang diraikan. Semoga sentiasa sihat, gembira, dan terus cemerlang dalam setiap Langkah.





