“PENJAWAT AWAM MERUPAKAN TITIK SENTUHAN KERAJAAN KEPADA RAKYAT” – YB SUK
IPOH, 30 JANUARI 2026 – Penjawat awam merupakan titik sentuhan kerajaan kepada rakyat yang menentukan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bersama Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Menurut beliau, sama ada pegawai kaunter, kakitangan sokongan, pegawai teknikal mahupun pihak pengurusan, setiap peranan yang dilaksanakan mempengaruhi pengalaman rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Rakyat mungkin tidak mengingati nama kita, tetapi mereka akan sentiasa ingat layanan, kesungguhan dan sikap profesional yang ditonjolkan. Justeru, setiap warga kerja perlu melihat amanah ini bukan sekadar tugas rutin, tetapi sebagai peluang untuk memberi khidmat yang bermakna dan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan,” katanya.
Tambah beliau, bangunan ini bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya merupakan ruang amanah yang menuntut setiap pegawai memainkan peranan penting dalam memastikan urusan pentadbiran, pengurusan mesyuarat, semakan dokumen rasmi serta layanan kepada rakyat dilaksanakan dengan teliti, sabar dan berhemah.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya kolaborasi yang kukuh dalam organisasi besar seperti PSUK bagi memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil bersifat menyeluruh, adil dan berkesan demi kepentingan rakyat.
Dalam majlis berkenaan, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan syabas kepada seluruh warga kerja PSUK atas komitmen tinggi sepanjang tahun 2025 serta berharap momentum tersebut dapat diteruskan pada tahun 2026 secara lebih fokus dan strategik bagi memastikan perkhidmatan awam negeri kekal relevan, berintegriti dan diyakini rakyat.
Hadir sama, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mewakili YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); Encik Mohamad Amir bin Mohd Dahalan, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan.
Pada majlis berkenaan, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut melancarkan buku Pelan Strategik Organisasi Tahun 2026–2030 sebagai dokumen rujukan utama yang akan memandu hala tuju pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.





