Kebenaran Merancang (KM)

Kebenaran Merancang (KM)

Tafsiran Kebenaran Merancang

Merujuk kepada subseksyen 2(1), Akta 172, kebenaran merancang ditakrifkan sebagai ‘kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat, untuk menjalankan pemajuan’. “Menjalankan pemajuan” disini bermaksud, sebarang tindakan pembangunan termasuk kerja-kerja yang memerlukan kelulusan di bawah lain-lain Akta.

Istilah “pemajuan” merujuk kepada subseksyen 2(1), Akta 172 ertinya menjalankan apa-apa kerja bangunan, kejuruteraan, perlombongan, perindustrian, atau apa-apa kerja lain yang seumpamanya pada, di atas, di sebelah atas atau di bawah tanah, membuat apa-apa perubahan material mengenai penggunaan mana-mana tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya, atau memecah sempadan atau mencantumkan tanah; dan “memajukan” hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya.

Larangan Mengenai Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang

Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu :-

“Tiada seorang pun, lain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan ebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah iberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3)”.

Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang atau pemajuan dijalankan berlawanan dengan kebenaran merancang, pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 27 dan Seksyen 28 Akta 172. Hukuman yang boleh dikenakan adalah mengikut Subseksyen 26(1), iaitu denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kebenaran Merancang yang Perlu Dirujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri Seterusnya kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) untuk Mendapat Nasihat Mengikut Peruntukan Subseksyen 22(2A), Akta 172

  • Pembangunan perbandaran baru bagi penduduk yang melebihi sepuluh ribu (10,000 orang) atau meliputi suatu kawasan yang melebihi seratus (100 hektar) hektar atau kedua-duanya.

2. Sesuatu pemajuan bagi pembinaan apa-apa infrastuktur atau kemudahan utama, termasuk :-

a) Kerja-kerja infrastruktur negara seperti lapangan terbang, pelabuhan laut, landasan keretapi dan lebuhraya, dan

b)   Kerja-kerja kemudahan negara seperti pembinaan empangan, stesen janakuasa utama dan tapak pembuangan sisa toksid.

3. Sesuatu pemajuan yang melibatkan kawasan di puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dalam sesuatu rancangan pemajuan.

Pihak Berkuasa Perancang Tempatan akan merujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri dan seterusnya Jawatankuasa perlu merujuk kepada Majlis Perancang Fizikal Negara untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu permohonan yang dikemukakan.


Print   Email